Tak kenal mayat adik
Oleh Saipul Adli Mohamad
KULAI: "Saya cukup sedih kerana langsung tidak kenal jenazah adik saya ketika membuat pengecaman tadi," kata Safri Sofian Abdullah, 47, abang kepada seorang peniaga pasar malam yang terbunuh akibat tersepit dalam sebuah van dan rentung selepas kenderaan itu terbakar berikutan terbabit dalam kemalangan, petang semalam.
Ketika ditemui di Balai Polis Kulai di sini, malam tadi, Safri jelas dalam keadaan sebak selepas adiknya, Zainal Amra Abdullah, 42, serta dua pekerja, Jazuli Abdullah, 47, dan Hazam Zami Nasiar, 15, maut berikutan van dinaiki tiga lelaki itu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 6, Jalan Kota Tinggi-Ulu Tebrau, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Zainal iaitu peniaga pasar malam, bersama anak kepada adik iparnya, Hazam serta seorang pekerjanya, Jazuli, dalam perjalanan ke Bandar Tenggara, Kota Tinggi, untuk memulakan perniagaan di lokasi itu.
Akibat bertembung dengan Nissan Frontier itu, ketiga-tiga mangsa yang menaiki van barang tersepit di tempat duduk sebelum rentung apabila kenderaan berkenaan terbakar.
Safri yang tinggal di Kampung Rahmat di sini, berkata, dia mendapat tahu mengenai kemalangan ngeri itu menerusi seorang rakannya yang kebetulan berada di tempat kejadian.
"Seorang rakan menelefon dan saya terus bergegas ke tempat kejadian sebelum ke Hospital Kulai untuk membuat pengecaman.
"Sebelum itu, seorang lagi adik saya, Rahman yang lebih dulu sampai ke tempat kejadian, dikatakan sempat menjerit 'Allahu akbar' dua kali sebaik melihat kejadian ngeri itu dan beliau kini dalam keadaan trauma.
"Setakat ini, saya masih merahsiakan daripada isteri arwah, yang hanya dikenali sebagai Effa, 30, bahawa mangsa sudah meninggal dunia sebaliknya hanya memberitahu suaminya terbabit dalam kemalangan kerana saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan kepadanya," katanya.
Beliau berkata, Zainal memiliki dua anak berusia 10 serta enam tahun dan ketiga-tiga mangsa berasal dari Ulu Tiram, Johor Bahru.
Sementara itu, Ketua Trafik Johor Bahru Utara, Cif Inspektor Matthew Manggie, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun dari arah Kota Tinggi ke Ulu Tebrau, cuba memotong sebuah kenderaan lain di kawasan laluan berbukit itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, cubaan pemandu pacuan empat roda itu, Loh Hwee Joo, 37, memotong kenderaan itu gagal dan tidak dapat mengelak daripada bertembung dengan van dinaiki tiga mangsa itu, berikutan sudah memasuki laluan bertentangan.
"Kemalangan itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa yang parah dan tersepit di tempat duduk, rentung selepas van mereka terbakar. Sebanyak tiga jentera bomba dari Balai Kulai, Johor Bahru dan Kota Tinggi bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa sebelum jenazah mangsa dihantar ke Hospital Kulai, di sini untuk dibedah siasat.
"Pemandu pacuan empat roda itu cedera parah dan dapat diselamatkan orang ramai sebelum dibawa ke Hospital Pakar Kempas, Johor Bahru untuk rawatan kecemasan," katanya.
Harian Metro
21st November 2007
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/75714/Article/index_html