MELAKA: Seorang penunggang anggota kumpulan mat rempit maut, manakala pemboncengnya cedera, apabila motosikal yang mereka tunggang bergesel dengan sebuah kereta Perodua Kelisa di Jalan Bunga Raya dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 12.15 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Syukri Minhat, 18, dari Simpang Semabok, manakala rakannya, Mohd Welldone Johari, 17, dari Taman Bukit Katil, patah ibu jari kirinya.
Ketika kejadian, mereka bersama sekumpulan 20 anggota kumpulan mat rempit sedang mengejar kereta berkenaan, yang sebelum itu dikatakan membunyikan hon ke arah mereka.
Pemandu dan penumpang kereta juga cedera akibat ditumbuk pada muka dan badan serta dipukul dengan topi keledar oleh anggota kumpulan mat rempit terbabit yang berjaya menghalang kereta itu di persimpangan Jalan Syed Abdul Aziz, Bandar Hilir, tidak lama kemudian.
Pemandu dan penumpang kereta, hanya dikenali sebagai Tan, 20, dan Bong, 18. Mereka lebam di bahagian muka dan badan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Ayub Yaakop berkata, kira-kira 20 anggota kumpulan mat rempit mengejar kereta itu dari Pengkalan Rama hingga ke Taman Melaka Raya.
Katanya, kumpulan mat rempit itu dipercayai membuat aksi yang membahayakan seperti mengangkat motosikal dan menunggang secara melulu hingga menyebabkan pemandu kereta membunyikan hon beberapa kali.
"Kumpulan mat rempit itu terus mengekori kereta ke Jalan Padang Nyiru dan Jalan Bunga Raya. Setiba di selekoh Jalan Bunga Raya, seorang daripada mereka cuba menghimpit kereta, menyebabkan penunggang dan pemboncengnya terhumban di atas jalan," katanya ketika dihubungi semalam.
Ayub berkata, beberapa anggota kumpulan itu berhenti untuk memberi bantuan kepada dua rakannya yang jatuh dan menghantar mereka ke Hospital Melaka untuk rawatan, namun Mohd Syukri meninggal dunia kira-kira sejam kemudian.
Ayub berkata, anggota kumpulan itu merampas dua telefon bimbit milik dua pemuda berkenaan serta memecahkan cermin depan kereta itu dan kemudian memukul dengan teruk, lalu melarikan diri.
Ayub meminta `mat rempit' yang terbabit dalam kejadian itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dengan segera untuk membantu siasatan.
Orang awam yang menyaksikan kejadian itu terus menghubungi polis yang kemudian menghantar mereka ke Pusat Perubatan Mahkota untuk rawatan sebagai pesakit luar.
Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti identiti enam daripada anggota kumpulan `mat rempit' terbabit, termasuk dua orang yang dipercayai sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hanya menunggu masa menahan mereka.
Ayub meminta `mat rempit' yang terbabit dalam kejadian itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dengan segera untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, anggota kumpulan `mat rempit' terbabit dipercayai berusia antara 17 hingga 20 tahun dan kebanyakan mereka meminjam motosikal orang lain untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan haram.