Tragedi Litar Batu Tiga
Posted On Thursday, May 13, 2010 By rusliesophian. Under Motoring
Sebaik saja masuk ke Shell Straight selepas mengambil selekoh F&N, Ford Escort BDA berkuasa kuda 320bhp yang dipandu Harvey Yap terus memecut laju meninggalkan kereta kedua jauh di belakang.
Seperti mana ramalan penonton dan harapan penaja Team Nescafe, Harvey Yap akan sekali lagi mencatat juara siri Super Saloon dalam Malaysia Grand Prix 1977 ini.
Tetapi tiba-tiba Harvey Yap terkejut mendengar bunyi letupan yang kuat pada tayar depan sebelah kiri dan sepantas kilat halalintar keretanya terus merepuh pagar di litar Batu Tiga itu.
Jerit pekik dan raungan yang kuat jelas kedengaran di kalangan penonton yang sedang berdiri di tepi pagar itu. Darah tersembur dan cebisan daging melayang ke udara.
Ambulan, pasukan pengawal keselamatan, anggota polis dan orang ramai semua berpusu ke situ. Harvey Yap keluar dari kereta lumbanya lalu membuka helmet dan dia terus menangis dan meraung sekuat hati apabila melihat 4 mayat kanak-kanak bergelimpangan di hadapan keretanya yang merepuh pagar tadi. 2 kanak-kanak mati dalam perjalanan ke hospital, sementara seramai 23 orang turut cedera.
Itulah peristiwa sebenar yang telah terjadi ketika berlangsungnya Malaysia Grand Prix pada tahun 1977 dulu. Aku coretkan kembali catatan ini demi ramai anak-anak muda sekarang yang meminati lumba kereta, tetapi ramai yang tidak tahu akan peristiwa itu.
Aku menyaksi dengan mata dan kepala aku sendiri bagaimana Harvey Yap yang trauma dipapah masuk ke pit. Dia menangis bagaikan seorang kanak-kanak yang kematian ibu.
Dalam situasi itu, aku turut menjadi serba salah. Pagi tadi turun dari rumah, aku dileteri oleh ibu aku. “Isteri dalam hospital nak bersalin, kau nak pergi berlumba juga!!”
Pada awal pagi tadi semangat aku memang tinggi. Tambah pula dalam official practise 2 hari lepas, aku berjaya membuat catatan masa terbaik yang memberikan aku kedudukan keempat di antara 38 buah motosikal yang mengambil bahagian.
Sebagai anak Melayu pertama tajaan Castrol, semangat aku dan harapan penaja memang tinggi. Tetapi peristiwa yang meragut nyawa itu telah merentap jantung aku sehingga debaran bagaikan ombak monsoon Laut Cina Selatan. Ingatan aku terus menerjah ke Hospital Universiti mengenangkan isteri terbaring di katil menunggu kelahiran anak kami.
Sebaik pandangan aku beralih ke litar, motosikal aku yang berkuasa 900cc dengan nombor 32 sudah pun dibawa masuk oleh krew kami. Dalam pada itu, 4 orang gadis Castrol yang berpayung dan berpakaian skirt pendek yang sexy datang menjemput aku. Maklumlah pelumba glamer pada masa itu.
Aku benar-benar serba-salah. Hasrat berlumba memang ada. Tetapi bukan saja semangat aku sudah luntur, bahkan tenaga aku secara tiba-tiba terus lemah. Raungan dan tangisan tadi masih jelas kedengaran.
Tapi apakan daya aku. Dalam keadaan tersepit itu, aku terpaksa teruskan juga untuk berlumba. Sepatutnya Clerk-of-Course ada bidang kuasa untuk menghentikan baki perlumbaan selepas peristiwa berdarah tadi.
Dalam membuat warm-up lap ketika aku tiba di tempat kejadian, pasukan keselamatan dan medic serta orang ramai masih berpusu-pusu membantu mereka yang cedera dan mengangkat mayat masuk ke ambulan.
Sebaik tiba di grid position, motosikal kami disusun secara berderet kerana dalam perlumbaan Series Production Motorcycle ini dimulakan secara ‘Le Man (di mana pelumba akan berlari untuk mendapat motosikal masing-masing).
Dalam dada berdebar dan ingatan yang bersimpang siur, aku kuatkan juga semangat untuk berlumba. Tetapi ternyata aku gagal mengawal semua itu. Tambah pula motosikal aku sudah dua kali hampir terbabas ketika mengambil selekoh Rothman.
Ternyata rantai dan sprocket motosikal aku telah haus akibat pagi tadi aku turut berlumba dalam acara Grand Prix Motorcycle sebanyak 50 pusingan. Sudahlah semalam juga aku turut serta dalam acara Improved Motocycles sebanyak 25 pusingan.
Tetapi yang benar-benar menjadi kemusyukilan dan tanda tanya, setiap kali aku tiba di tempat kejadian, motosikal aku akan bergegar bagaikan bagaikan seekor kuda liar.
Matahari dah hampir terbenam kami menamatkan perlumbaan sebanyak 25 pusingan. Aku benar-benar kecewa dan penaja juga turut bermasam muka apabila aku hanya berjaya menduduki tempat kelapan keseluruhan.
Tragedi Litar Batu Tiga | Motoring | Ruslie Sophian Menulis...