Additional:
Lumba drag menular di Linkedua,
550 kenderaan disita
SEBAHAGIAN daripada kenderaan yang ditahan dalam operasi cegah lumba haram.
JOHOR BAHRU 9 Julai - Kegiatan lumba kereta ala drag dari Amerika Syarikat, kini menular ke negara ini. Ia memaksa polis, termasuk dari Bukit Aman mengadakan operasi besar-besaran di ‘tapak perlumbaan’ itu di lebuh raya Linkedua di persimpangan Gelang Patah di sini awal pagi ini dan menyita 550 buah kenderaan.
Lebuh raya itu dikepung sepenuhnya dari tengah malam hingga 5 pagi.
Polis terpaksa ‘meminjam’ bas-bas kilang, lori-lori tanah, treler yang digunakan sebagai benteng bagi menghalang jentera lumba terbabit bolos.
Sebuah helikopter polis turut dibawa khas dari Kuala Lumpur bagi mengawasi operasi itu.
Lumba drag ialah perlumbaan kereta atau motosikal yang diadakan di trek yang pendek dan lurus dan pelumba dikehendaki menghabiskan cabaran dalam tempoh masa paling pendek. Ia menggunakan enjin berkuasa tinggi dan mengeluarkan bunyi bising.
Di Amerika Syarikat, jarak yang diambil untuk menghabiskan perlumbaan ialah kira-kira 201 meter atau 1,320 kaki.
Daripada jumlah kenderaan yang ditahan itu, 400 adalah kereta dan 150 lagi motosikal, termasuk kenderaan-kenderaan yang didaftarkan di Singapura.
Operasi yang dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu membabitkan 140 pegawai dan anggota polis; 20 kereta peronda; lapan kenderaan awam seperti lori treler, lori dan bas kilang serta sebuah helikopter dari Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Johari Yahya mengetuai operasi berkenaan dan dibantu oleh Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Johor Bahru Utara, Cif Inspektor Bakri Zainal Abidin.
Bakri berkata, pihaknya telah membuat pemantauan sejak dua bulan lalu apabila menerima laporan daripada penduduk di sekitar Gelang Patah bahawa aktiviti lumba haram dan bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman mereka di kawasan itu.
Beliau menambah, berikutan itu, pihaknya melakukan tinjauan ke lebuh raya berkenaan dalam tempoh tersebut bagi mengenal pasti beberapa buah kereta dan motosikal yang didapati terlibat dalam perlumbaan haram tersebut.
“Operasi yang kita lakukan berjaya dan pertama kali mengunakan helikopter apabila para pelumba yang cuba melarikan diri gagal berbuat demikian kerana polis telah menutup semua laluan keluar dari lebuh raya itu dengan bas kilang, lori treler dan lori tanah bagi menghalang sesiapa sahaja daripada memboloskan diri.
“Selain pelumba, para penonton yang menyaksikan perlumbaan itu turut ditahan tetapi mereka dibebaskan dan diberi amaran supaya tidak lagi menonton perlumbaan itu pada masa akan datang.
“Jika gagal mematuhi arahan itu, polis tidak teragak-agak akan mengambil tindakan terhadap mereka,'' tegas beliau kepada pemberita selepas mengakhiri operasi berkenaan di Gelang Patah di sini awal pagi ini.
Utusan Malaysia yang turut serta dalam operasi tersebut mendapati para pelumba cuba melarikan diri sebaik sahaja polis menutup semua laluan keluar sehingga nyaris berlaku kemalangan sesama mereka.
Helikopter yang turut serta dalam operasi tersebut juga membuat rondaan bagi memastikan para pelumba serta penonton tidak melarikan diri dari lebuh raya tersebut.
Bakri berkata, kesemua kenderaan serta pemandu terlibat telah dibawa ke IPD Johor Bahru Utara dan Balai Polis Kulai untuk pemeriksaan sama menggunakan kereta curi, mengubah suai enjin dan cukai jalan tamat tempoh.
Beliau berkata, sebanyak 30 pemandu dan kereta masing-masing yang menyertai perlumbaan tersebut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42, Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati memandu secara cuai dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Tambahnya, operasi berkenaan berjaya kerana melibatkan semua anggota dan Unit Udara PDRM bagi memastikan para pelumba terbabit tidak memboloskan diri.
Beliau berkata, polis akan menjalankan operasi yang sama dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti lumba haram di sekitar Gelang Patah dapat dibanteras.
Jelasnya, mereka yang ditangkap akan disiasat dan didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana terlibat menonton dan melibatkan diri dalam perlumbaan haram.